Katanya industri minyak dan gas adalah satu industri yang besar, dan jika gas itu dihantar ke Sarawak, Sabah tidak mempunyai sebarang aktiviti yang berkait rapat dengan industri itu.
“Selama ini ekonomi Sabah hanya bergantung kepada pelancongan dan minyak kelapa sawit. Tidak patut jika industri minyak dan gas tidak diberi tempat yang penting dalam pembangunan di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan portal Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran di Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Dompok, yang juga Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (UPKO), berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan untuk menyambung semula projek pembinaan saluran gas dari Kimanis, Sabah ke Bintulu, Sarawak.
Projek itu melibatkan pembinaan saluran paip gas asli di darat sepanjang 512 kilometer dan kemudahan berkaitan dari Terminal Minyak dan Gas Sabah yang dicadang dibina di Kimanis ke Kompleks Gas Asli Cecair Petronas di Bintulu.
Dompok sebelum ini pernah menyuarakan bantahannya terhadap projek berkenaan atas alasan gas itu amat diperlukan di Sabah untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan membangunkan industri hiliran negeri.
Katanya beliau amat kecewa kerana bantahan itu tidak mendapat sokongan daripada kerajaan negeri.
“Saya tidak tahu sebabnya, sangat mengecewakan. Mereka patut tahu apa yang patut mereka lakukan. Saya hanya bercakap untuk parti saya,” katanya.
Terdahulu ketika berucap pada majlis pelancaran itu, Dompok berkata, aplikasi teknologi maklumat sebagai medium penyampaian perlu diberi penekanan kerana sesebuah organisasi harus lebih responsif dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti.
Katanya, perhatian dan komitmen yang bersungguh-sungguh terhadap sistem pengurusan yang berteraskan kualiti dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi terkini akan meningkatkan lagi tahap keutuhan pengurusan dan sistem penyampaian perkhidmatan. - Bernama
(Sumber: Berita Harian - Rabu, 05 November 2008)
No comments:
Post a Comment